Tuesday 30 December 2008

Nasib Mentimun

Mengilas pandang selintas senario dekad-dekad akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20 di Tanah Melayu, perpindahan ( bukan penghijrahan justeru istilah ini membawa konotasi agama ) kaum imigran sangat berleluasa. Perpindahan mereka diatur oleh pihak kolonial. Antara tahun-tahun 1889 hingga 1900, hampir 100,00 pendatang Cina masuk ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Peningkatan jumlahnya berlipat ganda dalam tempoh 10 tahun berikut menjadi 231,368 orang pada tahun 1907. Manakala kaum India pula seramai 108,801 masuk ke Tanah Melayu antara tahun 1906 hingga 1908. Ini tidak termasuk perpindahan mereka melalui sistem Kancu, kewujudan kelas singkheh dari China atau sistem Kangani dari India. Apakah signifikannya angka ini? Tiada apa-apa kerana mereka bukan warganegara pada masa itu.

Tetapi setelah kerakyatan diberi secara jus soli dan setelah kaum imigran Cina ( dan juga kaum India ) menerima hak politik di negara ini secara fait accompli pada tahun 1948 dan 1957 dengan ingatan dan perjanjian bahawa orang Melayu akan menguasai aspek politik secara dominan, kaum imigran tampak akur dan surut kepada kehendak dan semangat tersebut. Namun, kesilapan 'seketika' ini telah menjebak dan memerangkap orang Melayu dalam keadaan diluah mati emak dan ditelan mati bapak, justeru pada hakikatnya kaum imigran tidak memberi apa-apa sebagai pertukaran terhadap pengorbanan orang Melayu. Mereka menerimanya secara gratis, pemberian kuasa politik percuma kepada kaum imigran yang akhir-akhir ini kelihatan seolah-olah ibarat senjata makan tuan atau bagai melepas anjing yang tersepit.

Peranan Inggeris dalam menentukan pola dan corak rakyat yang akan menghuni Tanah Melayu sangat besar. Bagi Inggeris yang terkenal dengan permainan politik divide et empera, dasar pecah dan perintah serta strategi liciknya untuk membenam segala perkara yang membawa semangat dan ciri-ciri Islam, keadaan ini tidak menjadi masalah kepada mereka. Mereka akan angkat kaki dan meninggalkan negara ini setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Tetapi kerosakan dan ketempangan sebagai legasi yang mereka wariskan kepada orang Melayu amat memeritkan, sangat kacau dan penuh dengan ranjau permasalahan yang tidak kunjung selesai.

Sejak dari itu, bangsa Melayu terpaksa bersilat di gelanggang perkauman. Orang Melayu terpaksa menyelesaikan setiap masalah yang ditimbulkan, sama ada soal kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan seumpamanya. Setiap kegagalan akan dipersalahkan ke atas bahu para pemimpin Melayu. Setiap dasar akan dilihat sama ada membawa implikasi perkauman atau tidak sedang hakikatnya soal perkauman itu sendiri merupakan isu isi dengan kulit bagi setiap bangsa yang ada di Tanah Melayu. Seperti yang dikatakan oleh Alias Mohamed dalam Wasiat Nasionalisme Melayu, "Pada masa-masa yang lalu jalan penyelesaian terhadap masalah perkauman dilihat dari 'approach' sehala dan adalah lazim orang-orang Melayu, terutama dalam UMNO, dibebankan dengan tanggungjawab mencari jalan merombak kekusutan, sementara kaum-kaum lain bukan sahaja menunggu dengan penuh selesa di hujung terowong untuk menerima faedah, tetapi mendapat imej sebagai golongan yang kena 'bully'". Seterusnya beliau menambah, "...orang Melayu terus menerus menerima 'bala' sebagai 'golongan yang menindas', walaupun di atas kesilapan-kesilapan yang mereka tidak lakukan dan walaupun nikmat keuntungan orang lain yang menerima".

Berdasarkan latarbelakang itu, orang Melayu selamanya akan dijadikan mentimun yang akan dilenyek dan dilumati oleh durian. Apa saja yang kita lakukan untuk kebajikan dan maslahah bangsa Melayu sudah pasti menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan mereka. Percikan api di sana sini baru-baru ini menjelaskan keadaan sebenar.